

ABSTRAK
Islam Ad-Din yang syumul merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi. Dalam bidang muamalah, Allah telah mensyariatkan jual beli yang halal dan melarang urusniaga berbentuk riba. Firman Allah SWT :
وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Dan Allah menghalalkan Jualbeli dan mengharamkan riba”
Setiap muslim disarankan agar meneliti setiap urusan muamalah agar tidak terjerumus ke dalam perkara yang haram. Rasulullah amat mengambil berat soal kesucian harta hingga apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda mendirikan pasar khas untuk kaum muslimin yang menjalankan muamalah secara halal kerana melihat pasar Madinah yang sedia ada didominasi oleh golongan Yahudi yang mengamalkan muamalah riba dan unsur-unsur yang haram.
Kertas kerja ini akan membincangkan bursa saham yang merupakan medan urusniaga yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap ekonomi negara masakini dan diceburi oleh ramai umat Islam. Perbincangan ini akan menganalisa aspek-aspek yang terdapat di dalam bursa saham secara terpisah kerana setiap aspek mempunyai hukum yang tersendiri.
1.0 DEFINISI BURSA SAHAM (STOCK EXCHANGE – بورصة الأوراق المالية )
Bursa (bourse/exchange) ialah lokasi berpusat yang menjalankan perdagangan instrumen kewangan. Terdapat pelbagai jenis bursa masa kini, antaranya: bursa komoditi, bursa mata wang asing, bursa opsyen, bursa sekuriti/saham dan sebagainya.
Bursa saham atau bursa sekuriti (stock exchange) ialah sebuah institusi (seumpama pasar) yang menjalankan urusniaga sekuriti di mana ia membentuk pangkalan utama yang memudahkan peredaran harta daripada individu, institusi dan sektor yang pelbagai, yang membantu mengembangkan harta dan menggalakkan pelaburan untuk kepentingan ekonomi.
Kebiasaannya, nama bursa diberikan kepada tempat yang dikhususkan untuk jualbeli sekuriti (sijl-sijil saham, bon dan sebagainya) di mana orang-orang yang bermuamalah dengan sekuriti ini berkumpul di situ untuk membeli atau menjual bon-bon kerajaan atau saham-saham syarikat yang disenaraikan. Biasanya proses jual beli dilakukan dengan perantaraan broker-broker atau orang tengah.
2.0 SEJARAH BURSA SAHAM
Perancis merupakan negara kelahiran bursa saham pertama, iaitu pada kurun ke-13 Masihi, di mana berlaku urusniaga bon antara para peniaga hingga Raja Perancis, King Philip (1268-1314M) telah mewujudkan broker mata wang bagi mengusun urusniaga antara para peniaga. Pada masa yang sama, gerakan perniagaan di Baljika memberangsangkan di mana para peniaga di negeri Bruges berhimpun di istana keluarga Van der Bourse untuk menjalankan urusniaga. Perkembangan ini telah menyebabkan mereka mengambil sempena nama keluarga pemilik istana tersebut bagi menggambarkan urusniaga ini hingga akhirnya perkataan Bourse atau Bursa ini digunakan untuk pasaran urusniaga sekuriti.
Perkembangan ini akhirnya menyaksikan penubuhan bursa saham di negara Belanda, Amerika Syarikat dan kebanyakan negara industri pada kurun ke-19 M. Bagi negara Islam pula, bursa saham diperkenalkan oleh negara yang menjajah. Mesir merupakan negara pertama di Timur Tengah yang mempunyai bursa saham iaitu pada akhir kurun ke-19 M. Di Malaysia, aktiviti broker dan syer dijalankan sejak akhir abad ke-19. Pasaran Saham Malaysia yang pertama ditubuhkan pada 1937 di bawah nama pasaran Broker Saham Malaya. Walau bagaimanapun perdagangan tidak dijalankan sehinggalah bulan Mei 1960.
3.0 OBJEKTIF DAN KEPENTINGAN BURSA SAHAM
Penubuhan bursa saham mempunyai beberapa objektif, antaranya:
1. Menyediakan tempat pasaran yang membolehkan pihak yang memerlukan modal mendapatkan modal melalui jual beli sekuriti yang disenaraikan
2. Menyediakan perkhidmatan yang bersangkutan urusan pelaburan dan maklumat saham kepada pelabur di samping mewujudkan minat terhadap pasaran sekuriti di kalangan pelabur dan orang awam
Antara kepentingan dan peranan bursa saham terhadap ekonomi ialah:
1. Mencairkan matawang dan menyalurkannya untuk projek-projek pelaburan
2. Memberikan indeks am tentang pergerakan harga, harta dan pelaburan, sekaligus menggambarkan kedudukan ekonomi negara
3. Menyumbang kepada meningkatkan keupayaan ekonomi dengan pelbagai projek pembangunan
4. Medan negara mencapai kestabilan matawang daripada urusniaga sekuriti bagi mengelakkan inflasi
No response to “Ekonomi Islam : Bursa Saham dari Perspektif Islam”
Catat Ulasan